Ahad, 3 April 2016

pokok harumanis

Teknik cantuman

Harumanis merupakan mangga yang popular di Perlis dan mendapat sambutan ramai.


Harumanis (MA 128) merupakan mangga yang popular di negeri Perlis dan mendapat sambutan ramai. Lazimnya, musim pengeluaran buah ini adalah pada bulan April hingga Jun.
Kemanisan harumanis mencapai 23 peratus darjah Brix dan keharumannya menjadi tarikan kepada penggemar buah-buahan tempatan. Darjah Brix digunakan untuk menyukat kandungan gula dalam sesuatu bahan larutan.
Harumanis sesuai dimakan secara segar, dibuat jus dan dimakan bersama pulut. Permintaan harumanis terus meningkat menyebabkan terdapat keperluan untuk meningkatkan pengeluaran hasil.
Harumanis mula ditanam di Perlis secara besar-besaran pada tahun 1983 melalui Program Pengurusan Perladangan Berkelompok. Ia seterusnya dikembangkan di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Negeri Perlis (IADP). Pokok harumanis yang ditanam di Perlis adalah terdiri daripada anak pokok cantuman.
Cantuman merupakan salah satu teknik pembiakan tampang. Ia lazimnya digunakan untuk menambahkan pokok yang sama dengan induk dan dikenali sebagai klon.
Kebaikan pembiakan tampang adalah pokok yang terhasil seragam dan sama (True-to-type) dengan pokok asal serta ciri-ciri pokok baharu menyerupai induknya.
Selain itu, pokok yang dihasilkan menggunakan teknik ini juga cepat berbunga, berbuah dan kebolehan untuk dibiakkan sepanjang tahun.
Teknologi cantuman
Sejak kebelakangan ini, cantuman dewasa pokok buah-buahan telah mula dipraktikkan di Malaysia.
Cantuman dewasa adalah suatu teknologi iaitu pokok asal yang kurang produktif dan tidak dikehendaki ditukarkan kepada klon yang lebih produktif secara cantuman.
Teknologi ini telah diaplikasikan kepada tanaman durian dan banyak dilakukan di Pahang dan Pulau Pinang.
Terdapat beberapa kebaikan dalam mengaplikasikan teknologi ini. Antaranya, pokok asal yang ditukarkan kepada klon baharu menggunakan teknologi ini boleh mengeluarkan hasil lebih cepat berbanding pokok cantuman atau anak biji.


Sion dimasukkan dalam tapak pencantuman.


Selain itu, ia juga menjimatkan tenaga dan kos dalam kerja-kerja penyediaan tapak seperti memancang, mengorek lubang tanaman dan pembajaan asas.
Teknologi ini juga menjamin keselamatan pokok di ladang kerana terdapat laporan kehilangan anak pokok cantuman yang telah ditanam di ladang. Teknologi cantuman dewasa mangga mula dilakukan di Perlis bagi menukarkan klon mangga sedia ada kepada harumanis.
Kebiasaannya pokok mangga klon Chok Anan dan Perlis Sunshine kerap ditukarkan kepada harumanis yang mendapat permintaan tinggi dan harga yang baik di pasaran.
Terdapat beberapa faktor utama dalam menentukan kejayaan cantuman dewasa mangga ini. Faktor kebersihan alatan cantuman adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan bagi memastikan cantuman tiada jangkitan dan berjaya.
Selain itu, faktor pemilihan sion yang tepat juga mempengaruhi peratusan kejayaan. Sion yang dipilih perlulah aktif dan tidak dorman.
Persekitaran
Keadaan pokok asal/penanti juga memainkan peranan dalam penentuan kejayaan cantuman iaitu pokok mestilah sihat dan subur.
Cuaca persekitaran juga menyumbang kepada penentuan kejayaan cantuman. Cuaca tidak terlalu kering dan lembap amat sesuai semasa kerja-kerja cantuman dijalankan.
Teknologi ini boleh membantu dalam program pemulihan tanaman bagi yang kurang ekonomi kepada klon yang lebih komersial dan berpotensi.
Selain itu, teknologi ini juga dilihat boleh menjimatkan masa pembuahan pokok. Hasil boleh dituai seawal tahun kedua atau ketiga cantuman dilakukan berbanding dengan penanaman anak pokok yang dituai pada tahun keempat.
Sistem pengakaran sedia ada yang cukup kuat juga membantu mempercepatkan pertumbuhan ranting dan pucuk-pucuk baharu yang sihat. Secara keseluruhannya, teknologi ini boleh diperkembangkan bagi membantu golongan sasar dalam meningkatkan kemahiran teknologi dan hasil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan